Skip navigation

Video Seks: “Bukan Saya” – Anwar

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau adalah individu di dalam rakaman video perlakuan aksi seks yang didedahkan kepada media pagi Isnin.

Malah beliau menegaskan semasa rakaman itu dilakukan, beliau berada di rumah bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; kakitangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), anak-anak dan cucu sambil mengakses ke laman sosial ‘Tweeter’ pada hari dan waktu tersebut.

Berdasarkan rakaman video itu tertera tarikh 21 Februari dari pukul 10.23 malam hingga 10.45 malam.

“Saya tidak tahu dari mana sumber video itu dan siapa Datuk T, permintaannya supaya saya dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan. Ini adalah serangan bermotifkan politik ke atas saya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Isnin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, dalam nada bergurau berkata, individu dalam video seks itu begitu mirip dengan dirinya kecuali perut individu tersebut sedikit buncit.

“Lihat, saya lebih kurus,” katanya sambil berdiri dengan gaya menyindir.

Ditanya sama ada beliau akan membuat laporan polis, Anwar berkata, beliau akan mendapatkan bukti dan individu yang terlibat terlebih dahulu.

“Saya masih belum lihat video itu dan tindakan susulan akan dilakukan selepas mendapat bukti-bukti yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Wan Azizah yang terkejut dengan penyebaran video tersebut berkata, tiada sebab untuknya berundur dari jawatannya sekarang.

“Ini adalah tindakan bermotifkan politik dan tidak bertanggungjawab yang didalangi oleh pihak tertentu untuk mengaibkan Anwar,” katanya.

Negara pada Isnin dikejutkan dengan penemuan pita rakaman aksi perlakuan seks seorang pemimpin tertinggi parti pembangkang dengan seorang wanita asing di sebuah hotel di ibu kota dekat sini.

Rakaman bertarikh 21 Februari yang berdurasi selama 30 minit berkenaan menunjukkan aksi-aksi seks Ahli Parlimen berprofail tinggi berkenaan dari pelbagai sudut yang jelas menampakkan wajah beliau bersama wanita terbabit yang dipercayai pelacur.

Pita rakaman berkenaan ditemui tersembunyi di dalam bilik hotel berkenaan baru-baru ini.

Malah, jam tangan pemimpin terbabit dikatakan tertinggal di bilik itu selepas aksi berkenaan dirakamkan.

Beberapa wakil media telah dipertontonkan dengan rakaman berkenaan secara individu di sebuah bilik hotel oleh sekumpulan yang tidak dikenali yang diketuai oleh seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Datuk T.

Datuk T memberitahu, dia mahu media menyaksikan sendiri rakaman tersebut sebelum menyerahkan kepada pemimpin berkenaan dan isterinya untuk tujuan pengecaman dalam tempoh seminggu ini.

Katanya, jika ahli politik kanan berkenaan dikenal pasti, beliau dan isterinya perlu ‘bersara dari politik’ kerana ternyata beliau bukan seorang yang ‘warak dengan moral yang tinggi seperti yang digambarkan’.

Kata Datuk T lagi, jika kedua-dua mereka enggan berundur, beliau akan memanggil beberapa perubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membentuk panel bebas serta mengupah pakar forensik bagi mengkaji keaslian rakaman berkenaan.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/21/mstar_berita/20110321180124&sec=mstar_berita

 

Petikan  Artikel dari http://mediapermatangpauh.blogspot.com/2011/03/gempar-identiti-datuk-t-terdedah.html

KENYATAAN AKHBAR
Saya dihubungi oleh seorang kenalan yang sangat rapat bermula sejak 15 Mac 2011 untuk berjumpa dengannya mengenai sesuatu yang penting. Pada hari Isnin 21 Mac 2011 lebih kurang jam 12.20 tengahari, saya mengesahkan bahawa saya ada ruang untuk bertemu beliau.

Saya berjumpa dengannya di Hotel De Palma Ampang jam 4 petang hari itu, sebelum dibawa di dalam sebuah kereta yang lain. Kereta itu dipandu oleh dua orang yang saya tidak kenali.

Saya dibawa ke Hotel Flamingo Ampang, seterusnya dibawa ke sebuah bilik junior suite. Saya bertemu Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Dato’ Eskay Shazril Abdullah yang telah menunggu di dalam bilik tersebut. Saya turut disertai oleh kenalan saya tadi.

Saya duduk di depan Tan Sri Rahim Thamby Chik sementara Dato’ Eskay Shazril Abdullah duduk di sebelah saya. Kenalan saya tadi duduk di atas katil di belakang di dalam bilik tersebut.

Dato’ Eskay Shazril Abdullah mula bercakap dan mengatakan bahawa saya (“Johari Abdul”) adalah ahli Parlimen yang pertama akan menyaksikan tayangan video yang sedang mula dimainkan itu. Dia juga meminta pandangan saya mengenai Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sepanjang tayangan video tersebut, Dato’ Eskay Shazril Abdullah menjadi suara latar menerangkan beberapa perkara. Contohnya, dia menyentuh bagaimana cara individu terbabit menanggalkan kondom selepas perlakuan berakhir mempunyai risiko air mani akan terpercik ke kawasan yang besar. Menurutnya, tabiat itulah yang menyebabkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering meninggalkan bahan bukti seperti yang berlaku dalam kes liwat pertama tahun 1998 dulu.

Dia juga mendakwa bahawa dia selalu membawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke club house di mana berlakunya kejadian itu dan tempat-tempat lain di Thailand seolah-olah ini perkara yang kerapkali dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, setiap kali dia membawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke tempat itu, bilik itulah (yang dirakamkan) yang digunakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sementara dia (Dato’ Eskay) menggunakan bilik bersebelahan. Dalam percakapan seterusnya, dia menyatakan kebimbangan kononnya rakaman-rakaman video seperti itu telah dipunyai oleh pihak perisikan Thai.

Sepanjang penayangan video tersebut, Tan Sri Rahim Thamby Chik kerap mencelah dan membuat komen pendek yang memburukkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya percaya beliau cuba meyakinkan saya bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang tidak bermoral dan tidak layak menjadi seorang pemimpin.

Selepas penayangan video tersebut, Tan Sri Rahim Thamby Chik mula bercakap. Dia memujuk supaya saya meninggalkan KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia berjanji untuk bawa saya berjumpa dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Tan Sri Rahim Thamby Chik juga menyebut bahawa dia akan uruskan segala keperluan kewangan dan keselamatan saya.

Tan Sri Rahim Thamby Chik juga cuba meyakinkan saya untuk membawa dan memujuk lebih ramai Ahli Parlimen KEADILAN berjumpanya, supaya dapat dipujuk keluar parti. Dia meminta saya mengepalai kumpulan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN ini. Saya tidak memberikan komitmen, selain mendengar komen-komen yang dibuat.

Selepas itu, saya keluar dan diiringi oleh kenalan rapat saya itu. Di dalam lif, saya memeluknya dan memberitahu beliau, bahawa setelah menonton keseluruhan video tersebut, saya yakin bahawa orang di dalam video itu bukanlah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Saya berkeyakinan bahawa pelakon itu bukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berlandaskan faktor berikut:

1. Pada awal rakaman, terdapat seorang lelaki lain yang sedang menguruskan rakaman video pada ketika orang yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim masuk ke dalam bilik. Sewajarnya orang itu (yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sedar bahawa perlakuannya akan dirakam. Mustahil sesiapa yang waras akan melakukan adegan sedemikian kecuali dia diupah.

2. Tempoh masa rakaman yang menunjukkan muka si pelaku adalah terlalu pendek. Ditambah dengan rakaman yang dibuat di dalam hitam putih; menyukarkan untuk betul-betul mengesahkan identiti si pelaku.

3. Bahu si pelaku terlalu lebar dan tegap berbanding bahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

4. Bahagian belakang si pelaku (punggong) juga berisi dan jelas berbeza dengan tubuh badan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

5. Di akhir adegan, si pelaku bangun dan tubuh badannya dirakam dengan jelas. Perutnya adalah buncit dan terlalu besar jika dibandingkan dengan perut Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

6. Warna kulitnya adalah terlalu cerah dan hampir tidak dapat dibezakan dengan warna kulit wanita terlibat.

Selepas itu, saya menyatakan kesediaan untuk membawa beberapa orang ahli Parlimen KEADILAN agar mereka juga dapat menonton video dan berjumpa dengan Tan Sri Rahim Thamby Chik. Saya dimaklumkan sessi tayangan seterusnya akan dibuat kepada ahli-ahli Parlimen KEADILAN pada jam 330 petang 22 Mac 2011. Kami hadir semalam di Hotel Flamingo Ampang dan menunggu hingga jam 530 petang, oleh kerana mereka telah sahkan bahawa perjumpaa akan berlaku. Walau bagaimana pun, perjumpaan itu dibatalkan oleh pihak mereka.

Saya mengambil risiko membuat kenyataan ini diluar Dewan Rakyat kerana saya yakin bahawa episod terbaru ini adalah satu lagi rencana jahat untuk memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

DATO’ JOHARI ABDUL
AHLI PARLIMEN SG PETANI
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
23 MAC 2011

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: