Skip navigation

Pengedaran surat layang yang memburuk-burukkan ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana menggunakan platform pembangkang untuk menyuarakan pandangan berhubung isu royalti minyak, tidak sepatutnya berlaku, kata pengerusi perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed

“Saya tidak bersetuju kerana memang terdapat perbezaan pendapat antara pemimpin tetapi ia boleh dibincang dan diperdebatkan melalui fakta sebenar,” katanya.

Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata demikian selepas majlis penyerahan cek RM800,000 kepada Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mat Zin.

Jumlah tersebut adalah untuk tujuan membayar elaun imam dan kakitangan masjid di Kelantan.

Tengku Razaleigh telah menyatakan pendiriannya mengenai royalti petroleum melalui platform pembangkang pada 28 Januari lalu di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan.

Veteran Umno Kelantan yang juga bekas Pengerusi Petronas, dilaporkan berkata rakyat Kelantan berhak untuk mendapat royalti minyak.

Kenyataannya menimbulkan kekeliruan kerana Tengku Razaleigh adalah individu yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian antara Petronas dan kerajaan negeri pada 1975 di bawah Akta 144 (Akta Kemajuan Petroleum 1974).

Kenyataan Tengku Razaleigh itu dilihat bertentangan dengan prinsip kerajaan dan parti.

Kerajaan pusat sebelum ini bersetuju membayar wang ihsan RM20 juta untuk dinikmati rakyat Kelantan mulai bulan depan.

Bayaran itu merupakan lima peratus daripada hasil pengeluaran gas di Medan Bumi Selatan, Blok PM301, yang berdekatan dengan perairan negeri itu, sejak Mei 2008.

Tahun lalu, kerajaan PAS Kelantan menuntut bayaran royalti RM2 bilion dari kerajaan pusat bagi operasi cari gali minyak di perairannya.

Bagaimanapun, menurut kerajaan pusat, Kelantan tidak layak untuk mendapat royalti kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan negeri itu.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan bahawa Mustapa sedih apabila dianggap mengkhianati rakyat Kelantan kerana tidak memihak kepada kerajaan negeri yang diteraju PAS dalam menuntut royalti minyak.

Beliau diminta mengulas mengenai ceramah-ceramah yang diadakan penyokong PAS yang antara lain menyifatkan beliau sebagai pengkhianat dan menderhaka kepada rakyat Kelantan berhubung isu royalti minyak tersebut.

Mustapa menegaskan kerajaan persekutuan juga tidak pernah menganak tirikan Kelantan dalam agihan peruntukan pembangunan sepanjang negeri itu ditadbir PAS sejak 20 tahun lepas.

Katanya, beliau telah melakukan yang terdaya mengikut keupayaannya sebagai anggota kerajaan persekutuan sejak 1996 dalam memperjuangkan nasib rakyat Kelantan meskipun mereka ditadbir oleh parti PAS.

“Sebagai anak jati Kelantan, saya sanggup meluluskan peruntukan berpuluh juta ringgit bagi membiayai projek-projek pembangunan untuk kepentingan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan warga jabatan-jabatan persekutuan.

Beliau memberi contoh antara projek pembangunan yang pernah diluluskannya ialah pembangunan Medan Tuan Padang bernilai RM1 juta, Pasar Siti Khadijah (RM3.3juta) dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan bernilai RM5 juta.

“Saya amat sedih dan dukacita jika dalam begini saya masih dikatakan sebagai rakyat yang derhaka dan mengkhianati rakyat Kelantan kerana semata-mata tidak menyokong kerajaan negeri dalam tuntutan royalti minyak yang diperjuangkan kerajaan negeri ini,” kata Mustapa yang juga ahli parlimen Jeli.

Mengenai isu royalti itu, Mustapa berkata beliau telah membantu rakyat Kelantan mendapat wang ihsan yang bakal diagih pada Mac ini.

“Soal tuntutan kerajaan negeri untuk mendapatkan wang royalti itu tidak berbangkit lagi, yang pastinya rakyat akan mendapat faedah melalui wang ihsan, cuma kaedahnya berbeza,” katanya.

Malah katanya peruntukan yang diberi kepada kerajaan negeri Kelantan adalah berkali ganda lebih banyak berbanding kutipan hasil yang diserah kepada kerajaan pusat.

http://www.malaysiakini.com/news/124790

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: