Skip navigation

SEBERANG PRAI: Gelanggang pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir dibuka 8 pagi ini – bagi menentukan sama ada PAS berupaya mempertahankan kedudukannya ataupun Barisan Nasional (BN) pula boleh merampas semula kerusi yang terlepas tangan pada tahun 1999.

Kedua-dua musuh tradisi ini mengharapkan kemenangan walaupun dengan majoriti satu undi.

BN menurun sebagai ‘underdog’ dalam pilihan raya ini – yang keempat bagi penduduk Permatang Pauh sepanjang 18 bulan lalu dan pilihan raya kecil yang kelapan sejak setahun lalu.

Keyakinan itu dilahirkan oleh Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, masing-masing Naib Presiden PAS dan Umno pada hari terakhir kempen semalam.

Kempen pilihan kecil ini yang bermula 17 Ogos lalu – yang didominasi isu menyentuh calon BN berbanding campuran isu di Manek Urai, Kelantan bulan lalu – berakhir tengah malam tadi dengan sedikit kekecohan di sana sini berkaitan soal bahan-bahan kempen yang dirosakkan.

PAS dan BN menamatkan kempen minit-minit terakhir dengan kempen agak ‘panas’ yang kecam-mengecam satu sama lain. Permatang Pasir juga kelihatan sesak tengah malam tadi.

Sejurus selepas berakhirnya tempoh kempen rasmi, jentera PAS dan BN mengadakan mesyuarat penyelarasan masing-masing. Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin diberikan taklimat mengenai prestasi jentera sehingga 1 pagi tadi di Pusat Gerakan Induk, Jalan Kubang Semang.

Jentera PAS pula bertemu di Markas Induk, Jalan Permatang Pasir.

CALON BN, PAS TIDAK UNDI

Proses pengundian bermula 8 pagi dan akan berakhir 5 petang, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof sambil menambah, jika tiada apa-apa masalah keputusan akan diumumkan 8 malam.

“Saya yakin peratusan keluar mengundi lebih kurang 80 peratus,” katanya.

BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, anak tempatan. Beliau memperoleh ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berhadapan dengan saingan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man yang berkelulusan Pengajian Islam dari Universiti Malaya.

Pun begitu kedua-dua mereka bukan merupakan pengundi di kawasan Permatang Pasir.

Yang akan mengundi ialah Ketua Umum Pakatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya di Sekolah Kebangsaan Seri Penanti.

Anwar juga merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang merangkumi DUN Permatang Pasir, Penati dan Seberang Jaya.

KOMEN CALON BN, PAS

Mengulas mengenai peluangnya, Rohaizat berkata, perkembangan yang positif yang disaksikan beliau memberi keyakinan kepadanya untuk meraih sokongan pengundi, sekali gus merampas semula kerusi itu, yang dianggap kubu kuat Pas sejak tiga penggal lalu.

Jelas beliau, BN telah menjelaskan hasratnya membantu rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur yang dikehendaki selain keperluan lain yang diperlukan di sesuatu kawasan.

Sehubungan itu, katanya, pengundi Permatang Pasir perlu memberi peluang kepada BN untuk membuktikan janjinya kepada mereka, yang menjanjikan kemajuan yang lebih gemilang.

“Saya minta semua pengundi keluar awal untuk mengundi. Jangan berlengah takut nanti tak sempat untuk mengundi disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Jangan lupa bawa kad pengenalan dan naik kenderaan yang tepat. Jangan tumpang kereta yang sembarangan, takut nanti tak sampai tempat mengundi,” katanya.

Salleh ketika dihubungi mStar Online selepas berakhirnya kempen tengah malam tadi memberitahu, beliau cukup bersemangat untuk menghadapi hari pengundian.

“Begitu pekerja jentera PAS dari kawasan lain dan dari parti komponen Pakatan Rakyat yang lain,” katanya.

Begitu juga penyokong dan ahli-ahli parti, kata Pesuruhjaya PAS negeri Pulau Pinang.

“Saya yakin PAS akan kekalkan kerusi ini… tiada masalah untuk kekalkan kerusi,” kata beliau yang enggan mengulas mengenai peratusan sokongan kepada BN.

Pilihan raya kecil ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Mohd. Hamdan Abd. Rahman dari PAS pada 31 Julai lalu.

Pilihan raya kecil sejak awal tahun ini diadakan selepas lebih sebulan kekosongan wujud. Ini termasuklah pilihan raya kecil DUN Penanti dan Manek Urai.

Bagaimanapun pilihan raya kecil ini diadakan dengan segera, kurang tiga minggu selepas kematian penyandang.

Pada tahun 1995 BN mengekalkan kerusi Permatang Pasir dengan majoriti 6,198 di mana ketika itu ia turut disaingi calon PAS dan DAP. Empat tahun kemudian ia dimenangi PAS dengan memperoleh majoriti 3,194 undi.

PAS mengekalkannya pada 2004 tetapi majoriti mengecil kepada 679 undi. Pada Mac 2008, PAS mempertahankan kemenangan dengan majoriti 5,433 undi.

Sejak 1986, majoriti di DUN Permatang adalah antara 600 dan 6,000 undi.

PAS dan BN mengharapkan undi penentu golongan muda dan masyarakat Cina. Dari segi pecahan usia, 40 peratus pengundi adalah mereka yang berusia 21 hingga 40 tahun, 25.5 peratus (41 hingga 50 tahun), 17.6 peratus (51 hingga 60 tahun), 10.38 peratus (61 hingga 70 tahun) dan 15.9 peratus mereka melebihi 71 tahun.

Dari segi pecahan pengundi mengikut kaum, DUN Permatang Pasir mempunyai 72.36 peratus pengundi Melayu, Cina (25.86%), India (1.63%) dan lain-lain (0.16%).

SPR: 8 PERATURAN BARU

Pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Permatang Pasir berlangsung hari ini dengan lapan peraturan baru – antara lain mana-mana kenderaan yang membawa pengundi tidak dibenarkan mempamerkan bendera dan lambang parti bertanding.

Ia merupakan sebahagian usaha suruhanjaya itu untuk mengawal perbuatan berkempen sebaik sahaja tempoh berkempen rasmi berakhir 12 tengah malam tadi.

“SPR akan menguatkuasakan beberapa perkara kali ini … tidak dibenarkan memasang logo, lambang dan bendera pada kenderaan… sama ada yang kecil ataupun besar,” Aziz memberitahu pemberita di sini.

Selain itu, larangan lain yang turut akan diguna pakai kali ini ialah:

– Tiada kempen selepas 12 tengah malam tadi (Isnin) hingga keputusan diumumkan hari ini (Selasa);

– Tidak dibenarkan mengadakan barong oleh parti-parti politik;

– Tidak ada lagi meja semakan daftar pemilih;

– Tidak membenarkan rumah kediaman dan pondok dijadikan untuk tujuan kempen esok;

– Aktiviti meraih dan merayu undi tidak dibenarkan di kawasan tempat mengundi;- Tidak dibenarkan aktiviti meraikan kemenangan; dan

– Keputusan akan diumumkan tepat pukul 8 malam hari ini (Selasa) jika tiada apa-apa masalah.

Aziz juga berkata, SPR menyediakan lapan kerusi roda kepada pengundi-pengundi uzur dan cacat.

“Kita sedia maklum, kita masih hadapi wabak influenza A(H1N1). Jadi Pejabat Kesihatan akan menyediakan meja bantuan di beberapa tempat dan pengundi-pengundi dinasihatkan memakai topeng perlindungan pernafasan ketika keluar mengundi.

“Petugas-petugas SPR memang dibekalkan topeng ini. Air ‘sanitizer’ juga akan disembur setiap dua jam di tempat-tempat mengundi,” katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi, Aziz menjangkakan kira-kira 80 peratus.

“Puasa, musim hujan dan wabak A(H1N1) dan kemudian cuti sekolah. Walau bagaimanapun kedua-dua parti ini bersemangat menjalankan kempen masing-masing, di sini kami menjangkakan 80 peratus.

“Mungkin lebih sikit, mungkin kurang sikit,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: