Skip navigation

Chua Jui Meng keluar MCA, sertai PKR

PETALING JAYA: Selepas menafikan dua hari lalu, petang ini bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan sendiri oleh beliau pada satu majlis PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway di sini petang ini.

“Wujud banyak spekulasi sejak kebelakangan ini dalam media tentang apakah langkah saya yang seterusnya dalam bidang politik.

“Hari ini saya membuat keputusan paling penting dalam hidup saya, meninggalkan MCA dan menyertai PKR,” kata beliau dalam ucapannya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dalam majlis itu.

Turut menyertai PKR adalah bekas Senator David Yeoh dan bekas Ahli Parlimen Lumut, Yap Yit Thong.

Pada sidang media selepas itu, Chua, 64, berkata, beliau menyertai PKR memandangkan wujud banyak persamaan antara aganda politik yang ingin dibawa beliau dan Anwar.

“Saya telah keluarkan manifesto pada 2005 dan 2008 dan saya membandingkannya dengan visi dan agenda Datuk Seri Anwar serta manifesto PKR pada pilihan raya umum lalu.

“Saya lihat ada banyak perkara yang kami punya persamaan dan itulah yang betul-betul meyakinkan saya bahawa PKR adalah parti yang tepat untuk saya sertai.

“Saya lihat semangat dalam diri Datuk Seri Anwar. Kita berbincang tentang agendanya, bertanya soalan dan saya memberikannya manifesto saya.

“Justeru, kita faham apa yang patut saya lakukan untuk membantunya dalam agenda Malaysia,” katanya.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau akan menghantar surat keluar parti kepada MCA secara rasmi memandangkan beliau telah mengumumkan keluar daripada parti hari ini.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk menukar parti, Chua berkata, beliau sebelum ini berhasrat untuk melakukan reformasi dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung keputusannnya keluar parti dan menyertai PKR, Chua berkata:

“Beliau sahabat saya. Beliau seorang yang berpegang teguh kepada prinsip.”

“Saya menghormatinya dan saya percaya beliau juga menghormati saya. Hubungan kami akan berterusan sebagai kawan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Chua adalah aset penting kepada PKR dan beliau akan mempelawa Chua untuk menyertai kepimpinan tertinggi parti itu.

“Hal itu memerlukan kelulusan biro politik parti dan seterusnya oleh Majlis Tertinggi,” katanya.

NAFI 2 HARI LALU

Kelmarin Chua melepaskan jawatan Ketua Bahagian MCA Bakri.

Chua, bekas Menteri Kesihatan, tewas dalam pemilihan jawatan Presiden tahun lalu dan 2005.

Beliau memimpin Bakri sejak 1988 dan menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

Kelmarin Chua juga menolak desas-desus yang mengatakan akan keluar parti dan menyertai PKR, sebaliknya meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

“Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya,” katanya.

Katanya, beliau sudah memaafkan mereka yang mencabarnya pada pemilihan tahun lalu, dan kini hanya mahukan mereka memandang ke hadapan, jangan saling bertelagah disebabkan perkara-perkara kecil.

REAKSI

Di KUALA LUMPUR, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Datuk Liow Tiong Lai berkata, beliau sedih dengan keputusan Chua.

Katanya, beliau sedih kerana Chua meninggalkan MCA ketika parti memerlukannya untuk memperkukuhkan parti selepas prestasi Barisan Nasional yang kurang menggembirakan dalam pilihan raya umum lalu.

“Kita seharusnya bersatu untuk menghadapi situasi sukar secara bersama.

“Saya sedih dengan keputusan beliau meninggalkan parti, tetapi saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” kata beliau selepas merasmikan pembukaan kelab TSM Wellness Sdn Bhd.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: